Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol Muhammad Abdullah (Negeri Sembilan)

Pada 15 Disember 2016, Istana Besar Seri Menanti menyaksikan berlangsungnya Istiadat Menghadap Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol.

Muhammad telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15 menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007.

Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad dan isteri Tok Puan Faridah Hanom Jaafar diarak dengan diiringi kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Johol ke Istana Besar Seri Menanti dengan paluan rebana.

Pada istiadat itu, Muhammad melafazkan sembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, diikuti titah ucapan Tuanku Muhriz dan disusuli tembakan tiga das meriam.

Sesudah titah ucapan baginda, hadirin mengaminkan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Nor Azamir Alias dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Istiadat diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.[4]